HAZARD terjatuh selepas diasak Bruno Fernandes (kanan). FOTO AFP
HAZARD terjatuh selepas diasak Bruno Fernandes (kanan). FOTO AFP
AFP

Seville, Sepanyol: Jurulatih Belgium Roberto Martinez berkata Eden Hazard dan Kevin De Bruyne akan menjalani ujian lanjut hari ini selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan Portugal 1-0 di Euro 2020, awal pagi tadi.

De Bruyne dikeluarkan sejurus selepas babak kedua bermula apabila mengalami kecederaan buku lali manakala Hazard turut mengalami nasib sama pada minit ke-87 susulan masalah otot sekali gus mencemaskan Belgium yang akan menentang Itali pada suku akhir Sabtu ini.

"Kami perlukan 48 jam untuk menentukan tahap kecederaan mereka,'' kata Martinez. "KDB di buku lali, ia terjahan yang keras. Eden lebih kepada otot. Kami akan pulang ke Belgium malam ini dan melakukan ujian lanjut esok.''

Belgium mara ke suku akhir hasil rembatan kencang adik Eden Hazard, Thorgan di penghujung babak pertama.

Portugal mengasak hebat pada babak kedua tetapi juara bertahan sukar mendapatkan gol penyamaan sekali gus Cristiano Ronaldo gagal menambah koleksi lima jaringannya di kejohanan ini.

"Pada babak pertama kami bermain dengan baik, menguasai perlawanan dan menjaringkan gol berkualiti,'' kata Martinez.

"Tetapi momentum babak kedua lebih kepada Portugal tetapi kami pamerkan ketahanan mentaliti. Kami perlu lebih berdisiplin dari segi taktikal.

"Kami kekal konsentrasi. Itu diperlukan pasukan yang menang. Ia bukan sahaja mengenai bakat tetapi juga semua aspek yang kami tunjukkan hari ini.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:49 AM