HASLIE (kiri) memerhati Nancy (dua, kiri) mendukung anak lelakinya, Hovannes. FOTO Nadim Bokhari.
HASLIE (kiri) memerhati Nancy (dua, kiri) mendukung anak lelakinya, Hovannes. FOTO Nadim Bokhari.
Mohd Roji Kawi


Serian: Mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, antara 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Selasa lalu, seolah-olah sudah terbayang hayatnya tidak panjang.

Suaminya, Bintara Muda Haslie Ali, 33, berkata, seminggu sebelum kejadian, isterinya meninggalkan pesanan supaya menjaga kedua anak mereka yang masih kecil apabila dia sudah tiada.

Menurut Haslie, ketika itu dia menganggap ia hanya pesanan biasa sahaja atau sekadar gurauan.

"Apabila tragedi berlaku, saya terus teringat kata-katanya dan tidak menyangka pesanan itu menjadi kenyataan.

"Saya akan pegang pesanan itu dan memastikan dua anak kecil kami membesar dengan sempurna," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di Kampung Engkaroh, Tebakang, di sini, hari ini.

Mendiang Joanna Felicia, 26, meninggalkan sepasang anak iaitu Allesia Felice Haslie, 4 dan Hovannes Haslie, 1.

Haslie berkata, buat masa ini dia belum memutuskan sama ada membawa anak-anaknya pulang ke Pangkalan TLDM Lumut, tempatnya bekerja atau diletakkan di bawah jagaan keluarganya di sini.

"Sebelum ini, anak kami dijaga pengasuh di kuarters kelamin TLDM Lumut ketika saya dan isteri bertugas.

"Selepas ini, saya belum tahu lagi sama ada membawa mereka balik ke sana atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:22 PM