GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Perkongsian mengenai kisah peribadi orang lain dan cerita 'dalam kain', antara hantaran dan carian popular di media sosial yang sering jadi pilihan warganet kebelakangan ini.

Menyifatkan ia sebagai medan fitnah tanpa sempadan dan menyebarkan aib seseorang secara terbuka, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, sudah sampai masanya perbuatan itu dihentikan sebaliknya diganti dengan perkongsian lebih bermanfaat.

Katanya, dahulu masyarakat negara ini sering dikaitkan dengan amalan menyibuk dan menjaga tepi kain orang, ia kini digantikan dengan perkongsian pautan kisah peribadi terutama membabitkan artis dan selebriti tempatan.

"Sampai masanya pengguna media sosial di negara ini berkongsi berita lebih serius dan positif dalam usaha membentuk minda yang aktif serta berdaya maju.

"Pemerhatian MCCA mendapati, keadaan hari ini semakin buruk dengan semua orang lebih gemar berkongsi kisah aib orang lain, sama ada ia dimulakan sendiri oleh artis terbabit atau ditulis semula oleh media tempatan," katanya.

Siraj berkata, lebih memburukkan keadaan, ada individu tertentu cuba mengambil kesempatan kononnya untuk mendedahkan kelemahan pihak lain walaupun tidak ada kaitan langsung dengannya.

"Mulanya kisah rumah tangga selebriti, kemudian kisah curang. Selepas itu ada pula pihak ketiga masuk campur.

"Media sosial ini sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih membina.

"Hentikanlah rasa seronok menyebarkan aib, kita sekarang melalui fasa yang tidak perlu di dalam perkembangan dunia digitalisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:48 PM