HENDRA dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 588.1 gram dua tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
HENDRA dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 588.1 gram dua tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 588.1 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Hendra Bala, 27, selepas mengambil kira semua faktor termasuk fakta kes, jumlah berat dadah selain rayuan mitigasi pihak pembelaan dan hujahan pemberat dikemukakan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemegang pasport Indonesia didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 588.1 gram di kawasan lot kedai di Jalan Bunga Tanjung, di sini, kira-kira jam 4.35 petang 9 November 2022.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut sebaik selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala tertuduh diwakili peguam lantikan Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Jhassery P Kang dan Jhasseny P Kang.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, susulan maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Tertuduh yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun bertindak cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan dinaikinya sehingga melanggar sebahagian struktur hadapan sebuah restoran selain mengakibatkan kerosakan tiga buah kenderaan yang berada di kawasan terbabit sebelum ditahan di bawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:07 PM