FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Berang dilastik pada kaki kerana disyaki mahu mencuri menjadi punca dua lelaki 'mengamuk' dengan memecahkan tingkap sebuah rumah di Sungai Buaya, Serendah, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, terdahulu pengadu yang juga lelaki berusia lingkungan 30-an memaklumkan terlihat salah seorang suspek berlegar-legar di kawasan stor kediamannya pada Isnin lalu.

"Mangsa kemudian melastik dan terkena pada kaki suspek menyebabkan berlaku pertengkaran.

"Suspek kemudian beredar pergi. Kira-kira 10 minit kemudian, suspek muncul membawa seorang rakannya. Mereka bertindak mengetuk pintu dan memecahkan tingkap kediaman mangsa menggunakan parang," katanya TADI.

Ahmad Faizal berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di Bandar Sungai Buaya, jam 1 pagi hari sama.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 34 dan 46 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah.

"Bagaimanapun hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif.

Polis turun merampas sebilah parang yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:18 PM