ANTARA wajah baharu Stadium MBPJ. FOTO SELANGOR FC
ANTARA wajah baharu Stadium MBPJ. FOTO SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aura baharu Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sudah diubah suai bakal membangkitkan semangat pemain Selangor FC bagi mengharungi Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Pengendali Red Giants, Nidzam Jamil berkata, wajah baharu Stadium MBPJ nyata memberi motivasi tambahan buat anak didiknya apabila beraksi di depan penyokong sendiri nanti.

"Saya fikir macam kita ubahsuai rumah kita. Ia masih rumah yang sama cuma kita tambahbaik rumah kita sendiri dan itu bagus untuk penyokong dan emosi para pemain.

"Sebab bila kita buat penambahbaikan pada stadium itu sendiri, itu akan tambah baik emosi. Ia juga akan tambah baik dari segi prestasi pasukan.

"Ini bagus untuk keluarga yang datang sebab kita nak semua orang rasa bahawa Stadium MBPJ itu adalah merupakan rumah kita.

"Dan jika kelab nak ubahsuai dan tambah baik lagi stadium, saya fikir itu satu perkara yang bagus kerana ianya adalah petanda yang baik buat kita," katanya pada sidang media SAC 2024 di Shah Alam, malam tadi.

Stadium MBPJ menjalani proses penambahbaikan musim ini susulan kejayaan Selangor FC yang akan beraksi di Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim ini.

Proses berkenaan antara syarat diletakkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) buat pasukan yang bertanding di ACL II, di mana tempat duduk penonton dinaik taraf, kemudahan di bilik persalinan dan pegawai ditingkatkan dan lain-lain lagi.

Dalam saingan SAC 2024 itu, ia membabitkan saingan empat penjuru termasuk Selangor FC; Balestier Khalsa FC dari Singapura; Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dari Brunei dan Young Elephants FC dari Laos.

Format kejohanan kali ini berbeza di mana setiap kemenangan akan mendapat tiga mata, manakala setiap jaringan gol (goal scored) akan dikira sebagai satu mata tambahan untuk setiap pasukan.

Pasukan yang menduduki tangga teratas carta liga akan menjadi pemenang atau juara kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:31 PM