KAPTEN Slovakia, Marek Hamsik (kanan) bergurau dengan rakan sepasukan pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Sepanyol, esok. FOTO AFP
KAPTEN Slovakia, Marek Hamsik (kanan) bergurau dengan rakan sepasukan pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Sepanyol, esok. FOTO AFP
AFP

Seville: Jurulatih Stefan Tarkovic, Marek Hamsik mungkin bermain sebagai penyerang tunggal pada aksi menentang Sepanyol di Euro 2020, esok, mengimbas perlawanan dimenangi Slovakia, tujuh tahun lalu.

"Kami sudah bersedia selama empat hari untuk bertemu Sepanyol dan ada beberapa pilihan," kata Tarkovic, yang belum menemui jentera serangan berbisa selepas mereka menang 2-1 ke atas Poland dan tewas 0-1 di tangan Sweden.

"Kami akan melihatnya selepas latihan hari ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Pada 2014, Slovakia yang meletakkan Hamsik sebagai penyerang tunggal mengejutkan Sepanyol 2-1 di Bratislava dan layak ke Euro 2016, sebelum mara ke pusingan kalah mati.

Situasi sama boleh berulang di Seville, tetapi Hamsik dan Tarkovic sedar mereka berdepan halangan sukar.

Slovakia kini menduduki tempat kedua Kumpulan E dengan tiga mata, satu mata mengatasi Sepanyol yang seri tanpa jaringan dengan Sweden dan seri 1-1 dengan Poland.

"Semua pasukan mampu layak, persaingan terbuka luas," kata Hamsik, kapten Slovakia dan bintang utama skuad itu.

"Kami akan berjuang untuk mendapatkan keputusan terbaik. Ia satu tugas sukar kerana kami berdepan pasukan hebat dengan pemain hebat," kata perancang berusia 33 tahun itu.

"Pada masa sama, Sweden dan Poland menunjukkan kepada kami bagaimana mahu mencabar Sepanyol."

Skuad Tarkovic tanpa penyerang yang cedera, Ivan Schranz manakala pemain pertahanan, Denis Vavro diuji positif Covid-19.

"Kualiti Sepanyol sangat besar, keputusan dua perlawanan lalu ketika mereka sukar menjaringkan gol tidak merubah fakta itu," kata Tarkovic, 48, yang menjadi penolong jurulatih pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 1:26 AM