OYARZABAL ketika sidang media di Madrid. FOTO AFP
OYARZABAL ketika sidang media di Madrid. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Sepanyol tetap yakin dengan kemampuan sendiri walaupun berdepan kritikan di Euro 2020, menurut Mikel Oyarzabal.

Pemain sayap Real Sociedad itu menjaringkan penalti penting ketika menewaskan Switzerland di Saint Petersburg untuk mara ke separuh akhir.

Skuad Luis Enrique muncul pasukan pertama dalam sejarah Kejohanan Eropah yang meledak lima gol atau lebih dalam dua perlawanan berturut-turut ketika menewaskan Croatia dan Slovakia.

Tetapi pesta gol mereka menyusul selepas dua keputusan seri menentang Sweden (0-0) dan Poland (1-1) pada peringkat kumpulan dan ia berulang kembali pada Sabtu lalu apabila membuat 28 percubaan sepanjang 120 minit dengan hanya satu gol dijaringkan.

Sepanyol turut membuat 29 percubaan pada dua aksi pertama dengan 10 tepat ke sasaran dan ketika kualiti mereka dipersoalkan, Oyarzabal menegaskan mereka tetap percaya dengan kemampuan sendiri.

"Sama ada anda adil atau tidak itu hak anda. Kami tetap yakin dengan skuad ini sejak awal lagi,'' kata pemain berusia 24 tahun ketika sidang media semalam menjelang perlawanan menentang Itali di Wembley.

"Kami tetap bersama dan ia skuad tahap tinggi. Kami yakin mampu pergi lebih jauh di Euro dan kami sudah tunjukkannya. Ya, orang ramai boleh memberikan pendapat tetapi kami tidak pernah meragui diri sendiri. Kami tetap yakin dengan skuad sekarang.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:33 AM