WILLIAM Carvalho (tengah) bersama Ronaldo (kiri ) and Bernardo Silva (kanan) meraikan gol ketika Portugal menang  4-2 ke atas Serbia dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi EPA
WILLIAM Carvalho (tengah) bersama Ronaldo (kiri ) and Bernardo Silva (kanan) meraikan gol ketika Portugal menang 4-2 ke atas Serbia dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi EPA
Reuters

JUARA Eropah Portugal kembali menghidupkan peluang mereka dalam kelayakan Euro 2020 menerusi jaringan William Carvalho, Goncalo Guedes, Cristiano Ronaldo dan Bernardo Silva membantu mereka meraih kemenangan 4-2 ke atas Serbia dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi.

Kemenangan itu melonjakkan Portugal ke tangga kedua dalam kumpulan itu dengan lima mata daripada tiga perlawanan, ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu Ukraine yang mengumpul 13 mata hasil lima perlawanan selepas menang 3-0 ke atas Lithuania sebelum itu.

Luxembourg di tangga ketiga dan Serbia di tangga keempat masing-masing mengumpul empat mata manakala Lithuania di tangga tercorot dengan satu mata hasil empat perlawnan.

Jurulatih Fernando Santos, yang membawa Portugal menjulang gelaran Euro 2016 di Perancis dan edisi perdana Liga Negara Eropah tahun ini, berpuas hati dengan aksi pasukannya.

“Kami menunjukkan banyak kreativiti dan serangan dalam aksi mantap yang diperlukan yang menewaskan pasukan Serbia yang juga bermain dengan baik,” kata Santos.

“Meraih gol pembukaan awal sebelum tamat separuh masa pertama adalah penting dan pada separuh masa kedua kami mengawal perlawanan. Kami berjaya melumpuhkan bahagian tengah mereka dan berhak meraih kemenangan itu.

“Kemenangan ini sepatutnya melonjakkan keyakinan kami menjelang kunjungan ke Lithuania Selasa ini (awal pagi Rabu) dan tiada yang penting selain kemenangan kerana ia kumpulan yang sukar.”

Rakan sejawatannya Ljubisa Tumbakovic, yang menggantikan Mladen Krstajic pada 1 Julai, tiga minggu selepas dipecat Montenegro mengakui beliau bermula buruk sebagai jurulatih Serbia.

“Kami tewas kepada pasukan hebat yang dibarisi pemain bertaraf dunia,” kata jurulatih berusia 67 tahun dari Belgrade itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:02 AM