JERMAN bersedia tewaskan Portugal dalam aksi pertembungan Kumpulan F. FOTO AFP
JERMAN bersedia tewaskan Portugal dalam aksi pertembungan Kumpulan F. FOTO AFP
AFP

Paris: Jerman berada di bawah tekanan menjelang perlawanan penting Euro 2020 menentang Portugal lewat malam ini ketika juara dunia Perancis berusaha untuk menempah tempat ke saingan 16 terbaik dan Sepanyol pula mengejar kemenangan pertama.

Selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2018, skuad bimbingan Joachim Loew itu tewas kepada Perancis 0-1 pada perlawanan pembukaan mereka di Euro dan satu lagi kekalahan kepada juara bertahan itu akan menyaksikan mereka berdepan penyingkiran awal sekali lagi.

Skuad Jerman itu mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Munich namun berdasarkan bukti prestasi mereka sebelum ini, mereka berdepan dengan kesukaran untuk menang pada perlawanan seterusnya peringkat Kumpulan F.

Biarpun begitu Loew yang akan mengundurkan diri selepas kejohanan tamat percaya pasukannya mampu untuk bangkit pada perlawanan itu.

"Tekanan selalu sama, tiada masalah dengan siapa kami bermain dan kami boleh lakukannya," kata Loew.

Cristiano Ronaldo tiba di Jerman dengan kemenangan 3-0 ke Hungary di Budapest dan satu lagi kemenangan akan memastikan mereka mara ke pusingan kedua sebelum turun berdepan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Perancis.

Bagaimanapun jurulatih berpengalaman Portugal, Fernando Santos memberi amaran: "Anda tidak boleh membandingkan Hungary dan Jerman dan kami perlu bersedia dengan apa yang dilemparkan kepada kami."

Ronaldo akan sekali lagi menjadi tumpuan selepas pemain itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak dalam sejarah Kejuaraan Eropah dengan 11 jaringan dalam lima kejohanan.

Dengan 106 dalam 176 perlawanan bersama Portugal, Ronaldo kini hanya memerlukan tiga gol untuk menyamai rekod sepanjang masa Ali Daei yang meledakkan 109 gol untuk Iran di antara 1993 hingga 2006.

"Cristiano Ronaldo tidak boleh menang perlawanan dengan sendiri jadi semua pemain perlu memainkan peranan masing-masing," kata Santos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:54 AM