Penjaga gol Haiti, Josue Duverger kesal kerana melepaskan gol mudah. FOTO Agensi
Penjaga gol Haiti, Josue Duverger kesal kerana melepaskan gol mudah. FOTO Agensi
Agensi

Chicago: Penjaga gol Haiti, Josue Duverger berdepan malam ngeri apabila dia melepaskan jaringan sendiri antara terburuk sepanjang zaman ketika perlawanan berdepan Kanada, semalam.

Kedua-dua pasukan terbabit beraksi bagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Concacaf, dengan pemenang layak ke pusingan akhir kejohanan di Qatar tahun depan.

Kanada mendahului 1-0 menerusi agregat daripada perlawanan pusingan pertama tetapi bergelut untuk menembusi jaring lawan mereka dengan kedudukan 0-0 pada separuh masa pertama.

Namun mereka memperoleh pertolongan yang cukup besar selepas waktu rehat susulan kesilapan yang dilakukan Duverger.

Pertahanan Haiti, Kevin LaFrance membuat hantaran ke belakang dari luar kotak penalti mereka tetapi Duverger gagal menahannya dengan baik.

Bola meleret di celah kangkang ketika penjaga gol itu cuba melakukan sepakan dan terus ke dalam jaring.

Sekalipun bola bergerak agak perlahan dan pemain berkenaan seharusnya boleh mengeluarkan bola itu dari kawasan bahaya.

Penjaga itu nyata menyesal dengan perkara yang berlaku itu.

Kanada bagaimanapun berjaya menambahkan dua lagi gol menerusi Cyle Larin dan Junior Hoilett untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 8:22 PM