Zarif Irfan Hashimuddin. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Zarif Irfan Hashimuddin. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Tempoh rehat dua bulan saingan Liga Super akan dimanfaatkan sebaiknya buat Zarif Irfan Hashimuddin untuk kembali menjadi pilihan selaku penjaga gol utama Sri Pahang FC.

Zarif Irfan berkata, sebagai pemain, keinginan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama tidak pernah padam.

"Oleh itu saya akan memastikan tempoh rehat ini akan membantu meningkatkan kembali prestasi pada tahap terbaik sekali gus kembali mendapat kepercayaan jurulatih.

"Siapa yang tidak mahu disenaraikan dalam skuad utama tetapi semuanya terserah kepada ketua jurulatih (Dollah Salleh) untuk memilih yang terbaik.

"Bagi saya saingan ini adalah positif untuk memastikan Sri Pahang mencatat keputusan terbaik pada setiap perlawanan," katanya.

Musim ini penjaga gol itu mula diturunkan selaku penjaga gol utama bermula pada perlawanan ketiga hingga ke-10.

Bagaimanapun, kecederaan pada buku lali kiri menyebabkan Zarif Irwan akur posisi itu diambil kembali penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias.

Namun, dia percaya saingan kembali terbuka sebaik Liga Super berehat selama dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:45 PM