ZARIF menyertai Sri Pahang pada musim 2021 dari Felda United. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
ZARIF menyertai Sri Pahang pada musim 2021 dari Felda United. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kecederaan yang menimpa penjaga gol utama, Izham Tarmizi, membuka kesempatan buat Zarif Irfan memperagakan aksi yang cemerlang pada dua perlawanan Liga Super, baru-baru ini.

Ibarat bulan jatuh ke riba, dia berharap mampu menambat hati barisan kejurulatihan Sri Pahang FC dan peminat setia Tok Gajah bagi terus diberikan peluang selaku penjaga gol utama.

Tambahnya, musim lalu menjadi antara detik paling mencabar buat dirinya apabila kurang mendapat minit permainan namun dia sama sekali enggan berputus asa bagi mencipta nama bersama Sri Pahang.

"Sememangnya bagi posisi penjaga gol, Izham ada kelebihan berbanding saya kerana dia mempunyai pengalaman yang cukup luas semasa bersama JDT (Johor Darul Ta'zim), pernah bermain skuad kebangsaan selain pengalaman di pentas AFC.

"Dapat menggantikan Izham ibarat rezeki buat saya tetapi dalam masa sama saya harap dia akan segera pulih dan tidak ditimpa sebarang kecederaan serius.

"Mungkin ada peminat yang kurang melihat persembahan saya selepas musim lalu saya hanya diturunkan dalam satu perlawanan Liga Super selain Piala FA.

"Jadi situasi ini ibarat satu batu loncatan buat saya membuktikan sesuatu kepada jurulatih serta penyokong-penyokong jika diturunkan berdepan Kelantan dan perlawanan akan datang, " katanya.

Sebelum ini, Izham mendapat kecederaan serius di bahagian kepala setelah bertembung dengan pemain Negeri Sembilan, Hasbullah Abu Bakar sebelum Zarif masuk menjadi pemain gantian.

Zarif menyertai Sri Pahang pada musim 2021 dari Felda United dan sering kali berada dalam kesebelasan utama sebelum masalah kecederaan membuka ruang kepada Helmi Eliza merampas tempatnya selaku penjaga gol utama.

Musim lalu, dia hanya memanaskan bangku simpanan ekoran kehadiran penjaga gol import, Mamadou Samassa yang menyukarkan peluang merebut tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 3:14 PM