AB Ghani akui MFL cuba membuat satu perkara yang lain untuk memastikan tidak berlakunya masalah gaji tidak dibayar selepas ini. FOTO Ihsan MFL
AB Ghani akui MFL cuba membuat satu perkara yang lain untuk memastikan tidak berlakunya masalah gaji tidak dibayar selepas ini. FOTO Ihsan MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Modus operandi beberapa pasukan yang kerap bermain 'wayang' apabila berpura-pura memenuhi segala syarat pelesenan kelab pada pertengahan musim sebelum membuat onar dengan isu tunggakan gaji di hujung musim dijangka berakhir selepas ini.

Ia selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui sedang memperhalusi beberapa perkara bagi membendung 'wabak' tunggakan gaji yang sering menyerang beberapa pasukan terutamanya apabila menjengah setiap hujung musim.

Apa tidaknya, proses mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim berikutnya akan berjalan sehingga Jun setiap tahun dengan beberapa dokumen termasuk kelancaran pembayaran gaji dan pemotongan wajib seperti KWSP dan LHDN tidak sangkut.

Namun, dapat diperhatikan sejak lima musim lalu, beberapa pasukan sama yang berjaya mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi pada musim berikutnya, pasti gagal menjelaskan gaji pemain bermula Oktober hingga April tahun berikutnya, sebelum kembali serius membayar kesemuanya untuk melepasi kitaran proses pada Jun berikutnya.

Sedar atau tidak, walaupun di akhirnya tunggakan gaji itu selesai, namun kehidupan pemain untuk tempoh lima hingga enam bulan pada hujung dan awal musim baharu adalah cukup menderita selain, ia turut mencemarkan imej liga tempatan apabila isu terbabit didedahkan hingga mendapat liputan media.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sedia memperketatkan sistem pelesenan bagi mengelak masalah sama berulang setiap musim.

"Sebenarnya kita di pihak MFL sudah mula pergi setiap-setiap pasukan untuk proses pelesenan untuk tahun depan 2022. Ia mengikut sistem AFC (Konfeedrasi Bolasepak Asia) iaitu mesti Jun, di mana jika tak ada sebarang masalah lesen akan dikeluarkan untuk membolehkan pasukan beraksi pada tahun berikutnya.

"Tetapi kita cuba membuat satu perkara yang lain untuk memastikan bahawa tidak berlakunya selepas itu gaji tidak dibayar dan sebagainya disebabkan dah tahu dapat lesen dan sebagainya.

"Tapi kita sudah ada badan bebas iaitu FIB (First Instance Body) Pelesenan Kelab FAM untuk memantau daripada perkara ini berlaku (selepas dapat lesen). Perkara ini juga berlaku selepas bulan Jun, maka kita juga ada tindakan yang diambil tentang perkara ini.

"Macam yang dipraktikkan sekarang, FIB akan memotong tiga mata kepada pasukan yang gagal memenuhi syarat tetapi kita banyak lagi hukuman keras dan FIB akan melihat satu demi satu kes.

"Kita di peringkat MFL tak boleh campur tangan (keputusan FIB), tapi mungkin boleh dibincangkan juga perkara ini dengan mereka nanti," katanya.

Untuk rekod, ketika ini beberapa pasukan Liga Super terpalit dengan isu tunggakan gaji sebulan hingga tiga bulan selepas Liga M membuka tirainya pada awal Mac lalu dengan Perak FC dan Sabah FC dilaporkan berdepan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:10 PM