Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Nasib 14 pasukan terutamanya beberapa kelab yang menghadapi isu tunggakan gaji bakal diketahui pada Khamis depan, atau lebih tepat pada 19 Oktober ini, sama ada dibenarkan beraksi atau tidak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini kerana pada tarikh keramat berkenaan, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan pasukan yang meraih lesen kebangsaan bagi membolehkan kelab terbabit bersaing dalam kancah Liga M bagi musim 2024 nanti.

Berdasarkan rekod sebelum ini, FIB dilihat cukup tegas dalam membuat keputusan dan ia dibuktikan pada musim lalu apabila dua pasukan iaitu Melaka United dan Sarawak United gagal meraih lesen kebangsaan ekoran isu tunggakan gaji sekali gus kedua-duanya disingkirkan daripada Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, kesemua pasukan sudah berjaya menghantar dokumen diperlukan meskipun terdapat satu pasukan iaitu Kelantan FC sedikit melepasi tarikh akhir penghantaran pada hujung bulan September lalu.

Katanya, kesemua dokumen itu akan diteliti oleh pihak FIB yang juga sebuah padan bebas sebelum keputusan dikeluarkan pada 19 Oktober ini nanti.

"Penutupan ialah pada hujung bulan September yang lalu, jadi kita dalam fasa pemeriksaan kesemua dokumen-dokumen yang sudah diserahkan semua pasukan.

"Perjumpaan FIB tak silap saya pada 18 dan 19 Oktober minggu depan, dan kita akan panggil sidang media pada 19 hari bulan nanti untuk mengumumkan keputusan lesen-lesen kebangsaan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem 'Harimau Malaya: The Untold Journey' arahan Datuk Afdlin Shauki.

STUART (duduk lima dari kanan) mengakui MFL amat komited untuk memastikan tiadanya isu tunggakan gaji berlaku pada musim depan. FOTO Bernama
STUART (duduk lima dari kanan) mengakui MFL amat komited untuk memastikan tiadanya isu tunggakan gaji berlaku pada musim depan. FOTO Bernama

Ujarnya lagi, perkara pokok yang pasti diambil kira adalah berkenaan pembayaran gaji sepanjang musim ini kerana MFL amat komited untuk memastikan tiadanya isu tunggakan gaji berlaku pada musim depan.

"Kelantan ada juga beberapa dokumen yang mungkin dihantar lewat selepas tarikh tutup tamat, tapi saya biarkan dalam jawatankuasa pada masa ini apabila bersidang nanti kita akan membuat keputusan.

"Mungkin terlalu awal untuk spekulasi dan kami harap semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia tahun ini fahami prosedur pelesenan, di mana ia bukan perkara baharu.

"Tahun lepas dan pun kita dah ambil beberapa keputusan yang agak tegas mengenai lesen tahun ini, dan kami rasa perkara itu akan disambung ke tahun ini untuk memastikan liga kita tidak mengalami isu-isu gaji.

"Semua pasukan sudah melengkapi dokumen tapi sekarang adalah proses meneliti informasi dalam dokumen itu. Sebab ini bukan proses penyerahan dokumen...penyerahan dokumen betul tetapi ia juga ada maklumat dalam dokumen.

"Ia untuk memastikan kedudukan kewangan pasukan, pembayaran kepada agensi ataupun gaji, struktur pasukan, legal entiti pasukan untuk memastikan apa-apa yang perlu diserahkan diserahkan dengan betul," kata Stuart.

Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan menghadapi isu tunggakan gaji atau kelewatan pembayaran, namun kes yang sudah disahkan sama ada dari pendedahan pemain ataupun pegawai adalah Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC.

Manakala, satu pasukan di utara tanahair dan satu pasukan berpangkalan di Lembah Klang turut dikatakan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:22 PM