PEMAIN Kelantan FC bertanya keadaan rakannya yang cedera ketika tewas 0-7 kepada Sabah FC pada aksi Liga Super, Isnin lalu. FOTO FB MFL
PEMAIN Kelantan FC bertanya keadaan rakannya yang cedera ketika tewas 0-7 kepada Sabah FC pada aksi Liga Super, Isnin lalu. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 30 November ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain yang masih tertunggak bagi Julai dan Ogos lalu.

Sekiranya gagal, skuad The Red Warriors (TRW) itu boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super musim depan apabila kelab itu tidak akan diberikan Lesen Kebangsaan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang memaklumkan hal terbabit pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

"Walaupun Kelantan FC tidak memiliki rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun, didapati memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos.

"Justeru, sebagai langkah pertama, FIB mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023.

"Namun setelah tarikh akhir 15 November 2023, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran atau persetujuan bersama pemain dan pegawai, sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa.

"Hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan FC adalah denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

"Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos atau persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab," katanya.

Beliau berkata, sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan langkah pertama, Kelantan FC masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan.

Katanya, Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025.

"FIB mengambil keputusan untuk memberikan hukuman kedua kepada Kelantan FC dengan sekatan perpindahan MFL sehingga semua kes tempatan dan asing diselesaikan sepenuhnya", katanya.

Dalam perkembangan sama, Nasir mengesahkan 10 kelab berjaya meraih Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi di Liga Super musim depan.

Kelab terbabit adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Perak FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC.

Bagaimanapun, tiga kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan serta hukuman adalah Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC.

"Ketiga-tiga kelab Kuala Lumpur City FC, Kelantan United FC dan Sabah FC diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman denda RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:09 PM