LIGA M terus terpalit isu tunggakan gaji. -FOTO Facebook
LIGA M terus terpalit isu tunggakan gaji. -FOTO Facebook
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih belum berlangsung, sudah kedengaran isu tunggakan gaji membelenggu sebuah kelab di Pantai Timur ketika ini.

Difahamkan tunggakan gaji berkenaan membabitkan bayaran dua bulan selepas pasukan itu memulakan latihan pramusim pada Februari lalu.

Menurut sumber, pemain masih menanti pembayaran gaji pertama untuk musim ini yang masih sangkut.

Lantas senario itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemain terutamanya dalam persediaan menyambut Aidilfitri pada Rabu ini.

"Pasukan (kelab dari Pantai Timur) masih tak bayar gaji pemain dah dua bulan. Mereka (pemain) tak dapat gaji lagi.

"Padahal ini baru pramusim, dah jadi isu macam ini. Harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum Hari Raya," kata sumber.

Saingan Liga M musim ini bermula agak lambat daripada kebiasaan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengubah kalendar daripada awal musim ke hujung musim kepada saingan pertengahan tahun.

Ini bermakna, Liga M akan mengikut sistem kalendar di Eropah dan liga utama Asia yang bermula dari Mei atau Jun, sehingga April musim berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 2:46 PM