STUART menafikan dakwaan pihak luar yang mengaitkan MFL seolah menutup sebelah mata khususnya isu yang membabitkan Melaka United adalah tidak benar. FOTO NSTP
STUART menafikan dakwaan pihak luar yang mengaitkan MFL seolah menutup sebelah mata khususnya isu yang membabitkan Melaka United adalah tidak benar. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Melaka United mahupun mana-mana pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dilayan sama rata dan tidak wujud pilih kasih dalam menentukan bentuk hukuman buat semua pasukan.

Ia termasuk dakwaan segelintir pihak yang menuduh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seolah menyebelahi beberapa pasukan dalam saingan domestik terutamanya Melaka United yang dikatakan sering terlepas daripada penggantungan lesen biarpun kerap terpalit dengan isu tunggakan gaji saban musim.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, dakwaan pihak luar yang mengaitkan pihaknya seolah menutup sebelah mata khususnya isu yang membabitkan Melaka United adalah tidak benar dan langsung tidak tepat.

Katanya, segelintir peminat mungkin tidak faham bagaimanapun sesuatu proses permohonan pelesenan kelab di buat setiap musim hingga mengaitkan MFL cuba membantu beberapa pasukan.

"Kita menerima dokumen permohonan pelesenan pada pertengahan musim dan biasanya pasukan akan memberi dokumen lengkap berhubung status pembayaran gaji, kontrak dan sebagainya dengan cukup sempurna pada pertengahan musim (31 Jun).

"Itu proses yang berjalan mengikut peraturan sedia ada bagi mendapatkan lesen untuk musim berikutnya. Tetapi, selepas itu memasuki hujung musim akan berlakunya isu tunggakan gaji dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, walaupun permohonan lesen untuk musim baharu diluluskan, namun MFL menerusi Unit Pelesenan sentiasa memantau dan disebabkan itu apabila masuk musim baharu, beberapa pasukan yang culas akan didenda seperti pemotongan mata dan sekatan perpindahan.

Ujarnya lagi, situasi sama berlaku ke atas Melaka United di mana sejak dua musim lalu pasukan itu sering didenda pemotongan mata ekoran kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji hingga hujung musim.

"Kalau Melaka anak emas MFL atau FAM, saya tak fikir mereka akan berdepan pemotongan mata dalam dua musim terakhir," katanya.

Katanya lagi, bagi memperbaiki sistem yang ada, pihaknya bersama Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sedang bekerjasama untuk merombak tarikh akhir penyerahan dokumen daripada hujung Jun kepada 31 September.

"Kenapa 31 September…kerana MFL perlu menyerahkan nama pemain-pemain kepada AFC untuk pertimbangan lesen kebangsaan. Bulan Oktober adalah tarikh akhir buat AFC".

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 9:34 PM