HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Rizar Mohd Noor


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan yang masih gagal melangsaikan tunggakan gaji tatkala diberi tempoh ditetapkan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata, ada dalam kalangan peminat bola sepak yang menyatakan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak tegas mengambil tindakan terhadap pasukan yang masih tidak membayar gaji kepada pemain.

“Saya berjanji jika ada pasukan yang masih berdegil maka mereka akan dikeluarkan daripada saingan Liga M. Itu janji saya. Sebagai badan pentadbir bolasepak kita mesti perlu adil kepada semua pihak iaitu kepada pemain, kelab dan juga peminat bola sepak,” katanya kelmarin.

Katanya, FAM atau MFL perlu melihat beberapa faktor terutama Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memaklumkan kepada Pemangku Ketua Pegawai Operasi MFL iaitu Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

“Kita tidak boleh memotong atau menyingkirkan mana-mana pasukan tanpa mengikut SOP yang dibenarkan FAM dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Apabila pelesenan kelab memberi lesen kepada setiap pasukan pada musim 2020 mengikut prosedur FAM dan pelesenan kelab yang sama dengan AFC dan FIFA perlu mengikut pembayaran gaji sehingga 30 Jun depan atau enam bulan ke bawah.

“Tetapi, Pelesenan Kelab FAM (FIB) ada kuasa selepas bermulanya saingan Liga Malaysia (Liga M) dan jika ada pasukan yang masih belum membayar gaji pada Julai atau Ogos maka tindakan akan dikenakan.

“Saya ambil contoh Melaka United (MU) membayar gaji sehingga lesen diberikan dan dijangka akan selesai sehingga 30 Jun ini dan saya difahamkan tunggakan gaji hampir selesai. Bagaimanapun, pihak sekretariat FAM dan MFL akan melihat dokumen rasmi dan bukan sekadar cakap-cakap daripada pihak MU.

“Pihak FIB (First Instance Body) adalah badan bebas dan antara kelab yang diberi amaran seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MU dan Kelantan, jika masih gagal melaksanakan tunggakan gaji pemotongan mata akan bermula serta merta dengan pemotongan tiga mata dan kemudian enam mata seterusnya jika masih gagal membayar maka disingkirkan .

“Pasukan yang bertanding sudah dimaklumkan awal dan banyak kali sudah diberi peringatan, namun mereka akan diberi ruang sebelum tindakan penyingkiran iaitu surat amaran daripada FAM dan jika tiada maklum balas dalam tempoh dua minggu kita akan dakwa dan pasukan yang kena dakwa akan diberi ruang untuk memberi penjelasan,” kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 6:30 AM