MESYUARAT Exco PBMM yang berlangsung Sabtu lalu memutuskan melangsungkan Piala Emas Raja-Raja pada Oktober ini.
MESYUARAT Exco PBMM yang berlangsung Sabtu lalu memutuskan melangsungkan Piala Emas Raja-Raja pada Oktober ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas tertangguh hampir setahun ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini, akhirnya kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) bakal menemui pencinta bola sepak tempatan apabila dijadualkan bermula pada Oktober ini dengan aksi pembuka tirai merebut Piala Agong dijangka pada 18 September ini.

PERR yang dianggap kejohanan peringkat kedua selepas saingan Liga M di mana ramai pemain muda berjaya dicungkil daripada kejohanan ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Nizam Hashim, saingan bagi edisi ke-80 itu dijangka berlangsung sengit selepas ia ditunda tahun lalu.

Katanya, sebelum PERR membuka tirainya secara rasmi musim ini, aksi merebut Piala Agong antara naib juara PERR musim 2019, Kuala Lumpur dan juara Piala Agong 2019, Pahang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras nanti.

"Selepas mesyuarat exco PBMM pada Sabtu lalu, kita memutuskan untuk melangsungkan PERR tahun ini selepas ia ditunda tahun lalu.

"Kali ini kita jangkakan semua pasukan akan mengambil bahagian untuk memeriahkan kejohanan yang paling dinantikan ini.

"Tapi sudah pastinya tahun ini lebih mencabar kerana setiap pasukan perlu mematuhi SOP yang ketat dan kita sedia untuk mengikut serta memastikan setiap pasukan mengikut SOP ditetapkan nanti.

"Kesihatan pemain dan pegawai keutamaan kita supaya tiadanya isu Covid-19 berlaku dan PERR dapat dilangsungkan secara baik," katanya.

Ditanya mengenai format pertandingan, PERR kali ini akan dijalankan secara karnival dengan Melaka dipilih sebagai tuan rumah.

PERR dijangka bermula dari 4-7 Oktober ini. Untuk rekod, PERR sudah melahirkan ramai bakat ternama hingga ada pemain yang berjaya menyarung jersi Harimau Malaya pada era 60-an, Zulkifli Norbit; legenda Selangor dan Pahang era 90-an, Mubin Mokhtar; diikuti Mohd Hafiz Kamal dan Nasir Basharudin pada era millenium ini.

Pada musim 2019, pasukan jemputan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) memecah tradisi kejohanan tertua negara ini selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:26 PM