FIRDAUS (tengah) ketika melancarkan Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja 2023.
FIRDAUS (tengah) ketika melancarkan Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja 2023.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Piala Agong dan Piala Emas Raja Raja (PERR) 2023 terus menghangatkan kancah bola sepak tempatan dengan penganjurannya pada tahun ini mencecah usia ke-101 tahun.

Saingan anjuran Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) itu menyaksikan sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan dengan aksi pembukaan membabitkan perebutan Piala Agong antara juara PERR musim lalu, pasukan Selangor dan juara Piala Agong musim lalu, Kuala Lumpur.

Kejohanan Piala Agong yang diibaratkan seperti aksi pembuka tirai seperti Piala Sumbangsih dalam saingan Liga Malaysia itu dijadual bermula pada 7 Oktober ini dengan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai venue aksi itu.

"Selepas itu, saingan PERR akan dimulakan pada 27 Oktober membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, KL, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Tambahan empat lagi pasukan adalah ATM, PDRM dan tiga pasukan jemputan iaitu Bomba, MySPRM-ACeIO (yang diwakili pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Singapura, di mana had usia yang dibenarkan adalah 25 tahun ke bawah," kata Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed.

Ujar Firdaus yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu, kelainan saingan kali bakal dihangatkan penyertaan pasukan dari Singapura.

"Kita dah bercakap dengan pasukan Singapura dan penyertaan mereka akan beri kemeriahan selain merapatkan hubungan dua negara," katanya.

Sebagai rekod, PERR 2023 diijadual berlangsung selama sebulan dan bakal berakhir pada penghujung November ini dengan Stadium MBPJ sebagai venue final.

Pada final PERR musim lalu, Selangor menamatkan badi 25 tahun apabila menjulang Piala Emas Raja Raja selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 3-2.

Manakala, Kuala Lumpur muncul pemenang Piala Agong musim lalu selepas membelasah Pahang 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 4:55 PM