PAHANG yakin pengalaman luas Ahmad mampu merealisasikan hasrat pasukan itu.
PAHANG yakin pengalaman luas Ahmad mampu merealisasikan hasrat pasukan itu.
Asrol Awang


JUARA berganda musim lalu, skuad Pahang mahu mempertahankan Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-79, musim ini. 

Justeru, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Pahang (PBSMP), Nazeri Hussain berkata, skuad itu akan memulakan misi apabila berdepan Terengganu pada 8 September ini. 

"Sudah pasti PBSMP akan mempertahankan dua piala dimenangi musim lalu biarpun sedar saingan sengit bakal dihadapi. 

"Oleh itu, kami akan memulakan kempen PERR ini dengan misi awal iaitu menewaskan Terengganu yang juga naib juara PERR musim lalu untuk menjulang Piala Agong. 

"Kelebihan beraksi di laman sendiri iaitu di Stadium Mini Kompleks Sukan Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, September ini, diharap memihak kepada Pahang," katanya. 

Bagi persediaan menghadapi PERR musim ini, Nazeri berkata, pihaknya mendapatkan khidmat bekas jurulatih dan pemain Pahang, Ahmad Yusof pada saingan kali ini. 

Katanya, dengan pengalaman dimiliki Ahmad diyakini membantu memperkasakan skuad Pahang terutama mempertahankan dua piala berkenaan. 

"Musim ini, hanya tujuh pemain musim lalu dikekalkan manakala selebihnya kami menyenaraikan pemain beraksi di liga tempatan. 

"Dengan gabungan pemain lama dan baru ini, kita harap semua pemain dapat beraksi dengan penuh semangat dan mempamerkan prestasi terbaik seperti dipersembahkan musim lalu," katanya. 

Pada musim ini, Pahang yang juga juara bertahan diundi dalam Kumpulan C bersama Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).  Kejohanan PERR selama sebulan di Kedah bermula 14 September ini bakal berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:43 PM