PASUKAN Selangor bergambar kenangan selepas melepasi halangan Kelantan di suku akhir Piala Emas Raja-Raja sebelum ini.
PASUKAN Selangor bergambar kenangan selepas melepasi halangan Kelantan di suku akhir Piala Emas Raja-Raja sebelum ini.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Motivasi pasukan Selangor kini melonjak di tahap maksimum menjelang saingan separuh akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2023 apabila dijadual berdepan Pahang pada aksi pertama di Stadium Mini Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Indera Mahkota, Kuantan, Isnin ini.

Ia susulan kejayaan skuad kendalian Faizal Esahar melepasi halangan suku akhir selepas menumbangkan Kelantan dengan agregat 2-0.

Pengurus pasukan Selangor, Azri Aziz berkata, semangat pemain dilihat pada tahap terbaik dan tidak mustahil rentak kemenangan mampu dikekalkan di separuh akhir nanti.

"Kami sedang mempersiapkan pasukan dari segi mental dan fizikal para pemain untuk mengharungi dua perlawanan timbal balik bermula Isnin di kuantan dan seterusnya di Shah Alam pada 25 haribulan ini.

"Saya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada barisan kejurulatihan berpengalaman kami diketuai oleh Faizal Esahar selaku ketua jurulatih, dibantu Yazli Yahya untuk mempersiapkan pemain dari segi teknikal dan taktikal bagi mengejutkan pasukan Pahang nanti," katanya kepada Arena Metro.

PERR yang sudah memasuki edisi ke-101 musim ini menyaksikan Selangor berada di landasan tepat untuk mempertahankan trofi dimenangi tahun lalu.

"Pasukan Selangor sememangnya menjadi perhatian semua dalam kejohanan PERR kerana status kami sebagai juara bertahan dan juga juara Piala Agong tahun ini.

"Ini juga menjadi motivasi kepada pasukan kami untuk mempamerkan permainan yang terbaik dan memberi tekanan kepada pasukan lawan yang akan kami hadapi," katanya.

Selain aksi itu, satu lagi perlawanan separuh akhir babitkan pertemuan antara Terengganu dan Kedah diadakan di Kuala Terengganu bagi separuh akhir pertama Isnin ini, sebelum timbal balik kedua lima hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 2:55 PM