GOPI Rizqi memilih untuk beraksi bersama pasukan Liga Perdana, Sarawak United. FOTO NSTP
GOPI Rizqi memilih untuk beraksi bersama pasukan Liga Perdana, Sarawak United. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Bekas pemain kebangsaan, Gopi Rizqi Rama Chandra mengesahkan Sarawak United menjadi pilihan bagi meneruskan aksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun Sarawak United beraksi di Liga Perdana, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu percaya saingan liga itu turut menjanjikan saingan sengit.

"Saya pilih Sarawak United bukan sahaja dibarisi pemain berpengalaman, malah pernah bekerjasama dengan ketua jurulatih E Elavarasan.

"Dengan pengalaman dan kerjasama itu saya percaya akan dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk membantu kelab ini beraksi di Liga Super pada musim 2022.

"Beraksi di Liga Perdana tidak menjadi persoalan kerana saingan di liga ini juga tidak kurang hebatnya terutama saingan daripada pasukan yang turut menyenaraikan pemain berpengalaman.

"Dengan komitmen tinggi pengurusan kelab, saya percaya semua pemain dan barisan kejurulatihan akan memberikan yang terbaik," katanya.

Sebelum ini Gopi Rizqi dilamar dua pasukan, masing-masing satu pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana.

Pemain tengah berpengalaman itu berkata, kehadiran beberapa pemain berpengalaman diyakini membantu memperkasakan kelab berkenaan.

"Saya harap Sarawak United yang begitu komited mempersiapkan pasukan ini akan meraih kejayaan yang membanggakan," katanya.

Selain Gopi Rizqi, Sarawak United dibarisi pemain berpengalaman iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Christie Jayaseelan dan Amer Saidin.

Selain itu, kelab dari Sarawak itu menyenaraikan tiga pemain import iaitu Taylor Regan, Lee Chang Hoon dan Sandro Mendonca.

Berdasarkan rekod, Gopi Rizqi mula bermain dalam saingan Liga M bersama Pahang dari 2010-2015, diikuti Selangor (2016), Johor Darul Ta'zim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 1:00 PM