GOPI diasak  pemain JDT, Corbin Ong. FOTO Pahang FA
GOPI diasak pemain JDT, Corbin Ong. FOTO Pahang FA
Asrol Awang


SKUAD Pahang perlu menang untuk kembali memperbaiki kedudukan dan memberi tentangan dalam saingan Liga Super apabila berdepan UiTM FC di Stadium UiTM FC, Sabtu ini.

Pemain tengah Tok Gajah, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra berkata, kemenangan ke atas UiTM bakal menyuntik kembali semangat dalam memperkasakan pasukan.

"Sudah pasti kami mahu menang selepas tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini. Pada masa sama, saingan Liga Super hanya berbaki enam perlawanan termasuk pertemuan dengan UiTM dan mahu atau tidak tiga mata perlu diraih.

"Biarpun lawan mempamerkan peningkatan prestasi termasuk melakar kemenangan 1-0 ke atas Felda United FC, kami perlu berwaspada," katanya.

Gopi Rizqi yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, komitmen tinggi rakan sepasukan diharap lebih padu untuk merealisasikan misi mengutip tiga mata itu.

Katanya, aksi di tempat lawan diharap berpihak kepada skuad kendalian Dollah Salleh itu ketika beberapa pemain muda menunjukkan perkembangan positif.

"Bagi saya peluang yang diberikan jurulatih (Dollah) kepada pemain muda bermain ketika berdepan JDT akan memberi motivasi dan pengalaman untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya," katanya.

Selepas lima perlawanan, Pahang berada di kedudukan ketujuh liga dengan memperoleh enam mata manakala UiTM pula di tempat kelima dengan tujuh mata.

Dengan baki enam perlawanan, Dollah perlu menang ke atas UiTM untuk mengelak ketinggalan jauh daripada segi mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 10:20 PM