GOPI Rizqi (kiri) mengharapkan yang terbaik untuk membantu pasukan yang akan disertainya beroleh kejayaan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
GOPI Rizqi (kiri) mengharapkan yang terbaik untuk membantu pasukan yang akan disertainya beroleh kejayaan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Asrol Awang


Kuantan: Bekas pemain kebangsaan, Gopi Rizqi Rama Chandra sedang menimbang dua tawaran yang diterima bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain tengah berpengalaman itu berkata, tawaran itu diterima baru-baru ini selepas kontraknya bersama skuad Pahang tidak disambung.

"Ketika ini saya masih belum membuat keputusan kerana dua tawaran itu masing-masing pasukan yang beraksi di Liga Super dan Liga Perdana.

"Sebenarnya saya tidak kisah sama ada beraksi di Liga Super atau Liga Perdana kerana misi utama ialah untuk kekal bermain dalam saingan Liga M musim 2021.

"Tawaran yang diterima juga menarik kerana sebelum ini masih mencari pasukan selepas tidak lagi bersama Pahang," kata pemain berumur 31 tahun itu.

Bagi menghadapi saingan Liga M musim depan, Gopi Rizqi mengharapkan yang terbaik untuk membantu pasukan yang akan disertainya beroleh kejayaan.

"Sudah pasti saya mahukan yang terbaik buat pasukan. Dengan pengalaman yang dimiliki saya akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

"Saya harap pilihan yang dibuat tepat untuk meletakkan tahap prestasi yang dinginkan jurulatih," katanya.

Berdasarkan rekod, Gopi Rizqi mula bermain dalam saingan Liga M bersama Pahang dari 2010-2015, diikuti Selangor (2016), Johor Darul Ta'zim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:16 PM