Penyerang PSG, Neymar (kanan) melepasi hadangan pemain Istanbul Basaksehir pada saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Penyerang PSG, Neymar (kanan) melepasi hadangan pemain Istanbul Basaksehir pada saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Paris: Bintang Paris Saint-Germain, Neymar mempertahankan keputusan pasukannya dan Istanbul Basaksehir untuk beredar meninggalkan padang pada saingan Liga Juara-Juara semalam kerana dakwaan wujud isu perkauman oleh pengadil perlawanan.

Pemain termahal dunia itu menegaskan perkauman "tiada tempat dalam bola sepak dan kehidupan."

"Apa yang berlaku tidak boleh diterima. Ketika kita masih hidup, kita tidak boleh menerima perbezaan yang dibuat berdasarkan warna kulit atau bangsa," kata Neymar kepada penyiar Perancis, RMC Sport selepas meledak hatrik dalam saingan semula yang dimenangi PSG, 5-1, pagi ini.

"Ia tiada tempat dalam bola sepak atau dalam kehidupan, atau mana-mana sukan, jadi apa yang kami lakukan adalah sempurna."

Perlawanan di Paris terhenti pada minit ke-14 semalam apabila pertelagahan tercetus membabitkan pegawai keempat perlawanan dari Romania kerana didakwa menggunakan kata-kata berunsur perkauman terhadap pembantu jurulatih Basaksehir dari Cameroon, Pierre Webo.

Ketika Basaksehir enggan kembali ke padang melainkan pegawai itu dikeluarkan, permainan terpaksa disambung 24 jam kemudian dengan pengadil baharu.

Sementara itu, badan induk bola sepak Eropah, UEFA membuka siasatan terhadap insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 9:25 AM