Bintang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dan Neymar memakai kemeja-T memperagakan tulisan ‘tidak kepada perkauman’. FOTO Agensi
Bintang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dan Neymar memakai kemeja-T memperagakan tulisan ‘tidak kepada perkauman’. FOTO Agensi
AFP

Istanbul: Presiden kelab Istanbul Basaksehir menyarankan hukuman gantung seumur hidup kepada pengadil Romania yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman sehingga menyebabkan pemainnya beredar meninggalkan padang pada saingan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain.

Pengadil keempat, Sebastian Coltescu menggambarkan pembantu jurulatih Basaksehir dari Cameroon, Pierre Webo sebagai "kulit hitam", atau "negro" pada perlawanan di Paris kelmarin.

"Pengadil seperti ini harus digantung seumur hidup," kata presiden Basaksehir, Goksel Gumusdag kepada media Turki.

"Mereka seharusnya menjadi dia sebagai contoh."

Penyerang Basaksehir dari Senegal, Demba Ba, turut dirakam berkata: "Apabila anda merujuk kepada orang kulit putih, anda tidak pernah kata 'lelaki kulit putih ini', anda cuma katakan 'lelaki ini', jadi mengapa apabila anda menyebut lelaki kulit hitam anda perlu katakan 'lelaki kulit hitam ini?'"

Perlawanan dihentikan pada minit ke-14 ketika kedudukan masih 0-0, dan pemain-pemain keluar padang beberapa minit kemudian.

UEFA berjanji akan melakukan siasatan terperinci terhadap insiden berkenaan.

Perlawanan berlangsung semula semalam dengan pemain melutut dan mengenakan kemeja-T anti perkauman sebelum PSG mencatat kemenangan 5-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 9:00 AM