NEYMAR menerima rawatan ketika menentang Basaksehir. FOTO AFP
NEYMAR menerima rawatan ketika menentang Basaksehir. FOTO AFP
AFP

Paris: Neymar bakal terlepas tiga aksi Paris Saint-Germain selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara, menurut laporan stesen radio Perancis dalam laman web hari ini.

Neymar dikeluarkan selepas 25 minit di Istanbul dalam perlawanan yang dimenangi PSG 2-0, semalam.

"Pemain Brazil itu yang cuba meneruskan permainan sebelum dikeluarkan, menjalani imbasan MRI dan mendapati otot pahanya koyak," menurut laman web RMC Sport hari ini.

Tiga perlawanan PSG selepas ini ialah berkunjung ke Nantes dalam aksi Ligue 1 esok diikuti menentang RB Leipzig dalam cabaran Liga Juara-Juara, Rabu ini dan Rennes dalam aksi Ligue 1 pada November 7.

Selepas itu rehat antarabangsa menyaksikan Brazil menentang Venezuela dan Uruguay dalam kelayakan Piala Dunia.

"Tiada sebarang petanda mengenai penyertaannya bersama skuad Brazil," kata RMC Sport.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel sudah pasti resah dengan senarai panjang krisis kecederaan pemainnya membabitkan Marco Verratti, Mauro Icardi, Leandro Paredes, Julian Draxler dan Juan Bernat dengan terkini Neymar.

Selepas tidak beraksi permulaan musim susulan Covid-19 dan dua lagi perlawanan akibat kad merah ketika menentang Marseille, Neymar meledak dua gol dan empat bantuan jaringan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 8:06 AM