Pengadil dari Romania, Ovidiu Hategan (dua kiri) bercakap kepada pemain Istanbul Basaksehir sebelum perlawanan tertangguh kerana isu perkauman dicetuskan pengadil keempat. FOTO AFP
Pengadil dari Romania, Ovidiu Hategan (dua kiri) bercakap kepada pemain Istanbul Basaksehir sebelum perlawanan tertangguh kerana isu perkauman dicetuskan pengadil keempat. FOTO AFP
AFP

Paris: Perlawanan Liga Juara-Juara membabitkan Paris Saint-Germain menentang Istanbul Basaksehir ditangguhkan pagi ini selepas pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang kerana mendakwa isu perkauman yang dicetus pengadil keempat.

Ia dikatakan kejadian yang tidak pernah berlaku dalam kejohanan bola sepak elit Eropah itu.

Ketegangan tercetus selepas penolong jurulatih Basaksehir, Pierre Webo yang juga bekas pemain antarabangsa Cameroon, dilayangkan kad merah kerana pertengkaran di luar padang membabitkan pengadil keempat yang menggunakan istilah rasis.

Perlawanan di Parc des Princes terpaksa dihentikan pada minit ke-14 ketika kedudukan masih 0-0, dan pemain-pemain keluar padang 10 minit kemudian.

Pengadil perlawanan, Ovidiu Hategan, dan dua pembantu serta pengadil keempat, Sebastian Coltescu, kesemuanya dari Romania.

UEFA dalam satu kenyataan berjanji akan melakukan siasatan terperinci terhadap insiden berkenaan dan mengesahkan perlawanan akan disambung awal pagi esok dari minit ia terhenti.

Danny Makkelie dari Belanda akan mengadili perlawanan dengan pegawai perlawanan lain dari Belanda dan Poland.

Dalam rakaman televisyen, jelas kedengaran Webo berulang kali bertanya mengapa perkataan berunsur perkauman digunakan untuk merujuk kepadanya.

"Yang berkulit hitam sebelah sana. Ini tidak mungkin. Pergi kenal pasti dia. Lelaki itu, yang berkulit hitam," kata Coltescu merujuk kepada Webo dalam rakaman berkenaan.

Pemain Basaksehir dari Senegal, Demba Ba, turut dirakam berkata: "Apabila anda merujuk kepada orang kulit putih, anda tidak pernah kata 'lelaki kulit putih ini', anda cuma katakan 'lelaki ini', jadi mengapa apabila anda menyebut lelaki kulit hitam anda perlu katakan 'lelaki kulit hitam ini?'"

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang mahu UEFA mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:45 AM