HISHAMUDDIN (dua kanan) menjadi ahli panel dialog Hala Tuju Bolasepak Terengganu di Hotel Permai, dekat sini semalam. FOTO Malik Muhamad
HISHAMUDDIN (dua kanan) menjadi ahli panel dialog Hala Tuju Bolasepak Terengganu di Hotel Permai, dekat sini semalam. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyambut baik format baharu Piala AFC musim 2021 ketika dunia termasuk Malaysia berdepan dengan ancaman wabak pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan format berkenaan bakal memberi peluang kepada pasukan TFC untuk menjadi pencabar terkuat dalam pentas Asia dan bukannya sekadar 'cukup makan'.

"Kami mengalu-alukan keputusan itu (format baharu), ini sebenarnya satu kelebihan kepada pasukan TFC iaitu sebagai persediaan pemain serta perancangan jurulatih kerana kita mempunyai ruang waktu yang cukup menuju kejohanan itu.

"Berkaitan gelanggang berkecuali pula ia tidak menjadi masalah kepada pasukan kita kerana kejohanan itu akan diadakan dalam bentuk karnival, lagipun kitapun sudah faham dengan situasi pada hari ini, tapi kita berharap pandemik Covid-19 ini dapat ditangani dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Dialog Hala Tuju Bolasepak Terengganu berlangsung semalam yang dihadiri tiga ahli panel iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Terengganu, Mat Sedek Wahab selain Hishamuddin.

Semalam Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengesahkan tiada lagi aksi di laman sendiri dan tempat lawan bagi perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala AFC yang bakal bermula pada April tahun depan.

Bercakap mengenai graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sebelum ini 'diborong' dua pasukan elit, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor, beliau tidak menghalang walaupun ada dalam kalangan pemain kelahiran Terengganu kerana ia mampu membina karier pemain berkenaan sebagai contoh Safawi Rasid.

Bagaimanapun beliau berpandangan tidak wajar jika ada pemain AMD ditawarkan gaji yang tinggi kerana mereka masih muda dan beliau juga bimbang jika PBSNT mengambil mereka (pelatih AMD) dengan membayar gaji yang tinggi kerana ia boleh merosakkan pemain lain yang ada dalam pembangunan bolasepak negeri Terengganu.

"Mengenai pengambilan pemain AMD ini kita ada pendirian yang berlainan sedikit, bukan kita tidak mahu ambil pemain bagus daripada akademi itu, tapi kita tidak mahu meletak pasaran harga yang terlalu tinggi kepada mereka sebab pemain itu masih muda dan tidak wajar kita meletakkan harga yang tinggi.

"Lagipun kita sudah ada pembangunan akar umbi yang cukup baik, jika kita ambil dengan harga yang tinggi kita bimbang akan merosakkan pemain-pemain lain, jadi buat masa ini jika pemain AMD gred A sudah diambil pasukan lain, kita fokus kepada gred B, Insya-Allah kita akan bangun pemain ini (gred B) ke tahap yang lebih berkualiti," katanya.

Minggu ini media tempatan melaporkan seramai 12 pelatih AMD menandatangi kontrak sehingga tiga tahun dengan pasukan JDT dan Selangor. Musim lalu seramai 28 pelatih AMD menyertai Selangor manakala enam pemain berkelana bersama JDT.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin mengesahkan TFC sudah melengkapi kuota lima pemain import dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan senarai nama pemain berkenaan jika semuanya selesai.

"Saya berpuas hati dengan pemain berkenaan dengan kualiti mereka, jika tiada sebarang masalah kita akan umumkan dalam masa terdekat selepas semua pemain selesai menandatangani kontrak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:57 PM