TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin (duduk, tengah) dan Irfan Bakti  (duduk, tiga kanan) bersama sepuluh pemain tempatan baharu yang menyarung jersi TFC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019. FOTO Ghazali Kori
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin (duduk, tengah) dan Irfan Bakti (duduk, tiga kanan) bersama sepuluh pemain tempatan baharu yang menyarung jersi TFC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Sepuluh muka baharu adalah antara 25 pemain yang dirantai naib juara Piala Malaysia musim ini, Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagaimanapun tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar dan bekas pemain FELDA United, Hadin Azman yang sebelum ini dikatakan berada dalam radar skuad Penyu tidak disenaraikan.

Turut tidak berada dalam senarai Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi yang sebelum ini dikhabarkan mahu membuat pusingan U.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata, kehadiran 10 pemain baharu itu dilihat mampu memberi impak positif kepada pasukan yang menyasarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC musim 2020 selain meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim depan.

“Cabaran TFC musim depan dijangka lebih mencabar kerana prestasi musim ini begitu memberangsangkan sesudah merangkul naib juara Piala Malaysia.

“Bagi meningkatkan prestasi pasukan, kerjasama dan komitmen tinggi daripada pemain selain jurulatih ditagih bagi memastikan KPI (petunjuk prestasi utama) dicapai,” ujar Hishamuddin pada majlis menandatangani kontrak pemain baharu skuad TFC di pejabat PBSNT sebentar tadi yang turut dihadiri jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, 10 muka baharu berjaya disambar skuad Penyu itu termasuk bekas pemain tengah FELDA United, Shamim Yahaya dan Khairu Azrin Khazali serta tiga bekas pemain Negeri Sembilan iaitu penjaga gol, Ilham Amirullah Razali, pertahanan Khairul Anwar Shahruddin dan penyerang Khairul Izuan Rosli.

Tonggak import musim ini iaitu penyerang Kipre Tchetche, pemain tengah Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin serta pertahanan Igor Zonjic antara pemain yang dikekalkan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 8:07 PM