Nafuzi Zain (kiri) memberi arahan kepada pemain dalam salah satu aksi Liga M. FOTO Ihsan TFC
Nafuzi Zain (kiri) memberi arahan kepada pemain dalam salah satu aksi Liga M. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain untuk terus kekal membimbing skuad itu tercapai apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal menyambung kontrak pengendali itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan, khidmat jurulatih kelahiran Kelantan itu yang pernah membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001 masih diperlukan bagi meneruskan kesinambungan bola sepak Terengganu.

"Oleh kerana kita nak kekalkan DNA bola sepak Terengganu, saya boleh jamin Nafuzi akan bersama dengan kita. Kita dapat lihat DNA itu mula berhasil, namun sentiasa ada cara untuk tingkatkan kualiti dalam pasukan.

"Menerusi 'roadmap' itu, kita sasarkan peningkatan secara berperingkat, musim ini baharu langkah pertama dan penyokong perlu bagi ruang untuk TFC menjadi pasukan yang lebih baik," kata Hishamuddin.

Sebelum ini, Nafuzi menyuarakan impian untuk kekal membimbing pasukan itu jika pihak pengurusan masih mahukan khidmatnya.

Difahamkan kontrak Nafuzi bakal dilanjutkan setahun lagi, namun setakat ini beliau belum lagi menandatangani kontrak kerana kontrak musim ini masih belum berakhir.

Musim ini gandingan Nafuzi dan dua lagi pemain Terengganu yang merangkul Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada 19 tahun lalu iaitu Subri Sulong dan Rusdi Talib selain jurulatih penjaga gol, Yazid Yasin berjaya membantu skuad TFC layak ke saingan Piala AFC musim depan selepas menghuni di kedudukan ketiga Liga Super.

Berkenaan dengan lima tonggak import musim ini iaitu Muhammad Faris Ramli, Dominique Da Sylva, Lee Tuck, Babacar Diallo dan Sanjar Shaakhmedov, Hishamuddin menjelaskan beberapa faktor antaranya kewangan dan kesesuaian dengan corak permainan TFC menyebabkan PBSNT terpaksa melepaskan beberapa pemain berkenaan.

Katanya, walaupun ada perubahan, beliau percaya kemampuan Nafuzi untuk membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi musim depan dan fokus TFC tidak akan mengganggu untuk memberi saingan terutama dalam pentas Piala AFC berdepan dengan kelab-kelab gergasi Asia.

Beliau menjelaskan setakat ini pemain kelahiran Singapura, Faris dan pemain Mauritania, Da Sylva sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dengan tidak menolak kemungkinan tiga lagi pemain iaitu pemain berdarah kacukan England-Malaysia, Tuck, pemain kelahiran Senegal, Diallo dan pemain kebangsaan Uzbekistan, Shaakhmedov bakal 'angkat kaki'.

"Kita lepaskan ramai pemain atas beberapa faktor antaranya kewangan dan kesesuaian dengan corak permainan TFC, tonggak import yang akan dibawa masuk ada yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) manakala sebahagiannya adalah muka baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 1:11 PM