Domenico Berardi (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika Itali menewaskan Bosnia Herzegovina. FOTO Agensi
Domenico Berardi (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika Itali menewaskan Bosnia Herzegovina. FOTO Agensi
AFP

Sarajevo: Itali mengesahkan tempat ke saingan akhir Liga Negara-Negara tahun depan dengan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Bosnia Herzegovina di Sarajevo.

Sepakan voli Andrea Belotti yang menerima hantaran Lorenzo Insigne selepas 22 minit permainan memastikan Itali di depan sebelum Domenico Berardi menambah jaringan kedua pada minit ke-68 untuk memastikan skuad Azzurri menamatkan saingan Liga A Kumpulan 1 di tempat teratas.

Itali menewaskan Poland 2-0 pada Ahad dan berjaya melengkapkan tugas mengatasi pasukan yang tersingkir dari saingan itu Bosnia.

Kedua-dua pasukan dihimpit masalah Covid-19 dengan jurulatih Itali, Roberto Mancini terlepas aksi itu dan Bosnia tanpa kelibat beberapa pemain utama termasuk penyerang Roma, Edin Dzeko dan pertahanan kiri Arsenal, Sead Kolasinac.

"Barisan pemain memberikan hadiah yang cukup bermakna kepada Mancini, yang pastinya cukup berpuas hati," kata pembantu jurulatih Itali, Alberico Evani.

Mancini mengambil alih tugas pengendali selepas juara dunia empat kali, Itali gagal layak saingan akhir Piala Dunia 2018.

Selepas layak bagi Kejohanan Eropah tahun depan dengan mencatat lebih daripada 10 kemenangan, Itali mengorak langkah pula dalam saingan Liga Negara-Negara, dengan tiga kemenangan dan tiga seri.

"Kami akan membuat persediaan untuk berdepan pasukan terbaik di Eropah pada pusingan akhir, untuk melihat di mana tahap kemampuan kami," tambah Evani.

"Kami percaya kami semakin menghampiri mereka. Jadi kita lihat nanti sama ada ia benar atau sebaliknya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 8:29 AM