PELLEGRINI (tengah) menjaringkan gol pertama Itali pada saingan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
PELLEGRINI (tengah) menjaringkan gol pertama Itali pada saingan Liga Negara-Negara UEFA. FOTO AFP
AFP

Bergamo: Itali gagal mempertahankan kedudukan teratas peringkat kumpulan selepas sekadar seri 1-1 ketika bertemu Belanda pada saingan Liga Negara-Negara UEFA, hari ini.

The 'Azzurri' mencatat kemenangan 1-0 di Amsterdam bulan lalu tetapi kini gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir termasuk seri tanpa jaringan ketika bertemu Poland di Gdansk.

Skuad bimbingan Roberto Mancini jatuh di tangga kedua Liga A, Kumpulan 1 dengan mengumpul enam mata, ketinggalan satu mata di belakang Poland yang menewaskan Bosnia Herzegovina 3-0.

"Kami akan memenangi baki dua lagi perlawanan," kata Mancini.

"Perlawanan bertemu Poland tidak akan memberikan tekanan kepada kami, sebaliknya kami akan memenangi dua perlawanan lagi dan layak ke saingan seterusnya.

Itali membuka jaringan menerusi Lorenzo Pellegrini yang menerima hantaran cantik Nicolo Barella minit ke-16.

Bagaimanapun pemain tengah Manchester United, Donny van de Beek menyamakan kedudukan kurang 10 minit kemudian.

"Mereka mengubah rentak permainan. Belanda adalah pasukan yang kuat dan kami sedar bakal mengharungi perlawanan yang sengit." kata Mancini yang melebarkan rekod tanpa kalah sebagai jurulatih Itali kepada 19 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 8:25 AM