AARON (kiri) dan Wooi Yik mendapat kemenangan percuma di pusingan pertama Terbuka Perancis, semalam selepas lawan mereka cedera. 12. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik mendapat kemenangan percuma di pusingan pertama Terbuka Perancis, semalam selepas lawan mereka cedera. 12. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya rentak permainan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak terjejas apabila bakal beraksi di pusingan kedua Terbuka Perancis, esok.

Pasangan negara itu hanya beraksi selama 10 minit ketika bertemu gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada pusingan pertama, semalam selepas lawan mereka terpaksa menarik diri susulan kecederaan dialami Lamsfuss ketika kedudukan terikat 12-12 di set pertama.

"Sekurang-kurangnya mereka sudah bermain untuk beberapa mata dan saya percaya mereka sudah boleh dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Apa yang mereka perlu lakukan adalah memberi fokus sepenuhnya apabila turun untuk aksi pusingan kedua nanti," kata Rexy.

Pada pusingan kedua esok, Aaron-Wooi Yik perlu berwaspada dengan ancaman lawan mereka dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Meskipun kedudukan ranking Aaron-Wooi Yik jauh lebih baik iaitu di nombor lima dunia berbanding Fang Chih-Fang Jen yang menduduki ranking ke-24, beregu Taiwan itu sudah membuktikan mereka mempunyai kemampuan untuk melakar kejutan.

Malah, mereka menewaskan satu lagi gandingan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama, semalam biarpun tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum itu.

Sementara itu, Rexy memuji gelanggang rasmi badminton bagi Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte de la Chapelle yang diuji pemain badminton utama dunia yang menyertai saingan Terbuka Perancis ketika ini.

"Dewan digunakan untuk Paris 2024 ini cukup bagus, corak angin tidak banyak dan keadaan gelanggang juga bagus.

"Cuma, ada sedikit pencahayaan lampu tidak sesuai di tengah gelanggang dan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) pun menyedarinya dan akan cuba untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Selain Aaron-Wooi Yik, satu lagi gandingan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan turun akan beraksi di pusingan kedua, esok menentang pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 6:07 PM