AARON dan Wooi Yik akan beraksi di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.
AARON dan Wooi Yik akan beraksi di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebih menekankan aksi konsisten di dalam gelanggang berbanding terlalu memikirkan mengenai kedudukan ranking.

Menurutnya, fokus utama mereka untuk menampikan aksi konsisten bagi menghasilkan keputusan positif dalam kejohanan disertai.

"Bagi saya ranking bukan pertama utama. Apa yang lebih utama adalah keputusan dan prestas konsisten di dalam gelanggang," katanya.

Semalam, Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia, Ogos lalu melonjak satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ranking nombor empat dunia berdasarkan kemaskini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia kedudukan ranking terbaik diraih pasangan berkenaan sejak mereka mula digandingkan pada 2017.

Selepas sebulan lebih merangkul gelaran juara dunia, Aaron-Wooi Yik akan kembali ke medan pertarungan bermula dengan saingan Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Oktober diikuti Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober.

"Sekarang kami sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka Denmark dan Perancis. Kami harap boleh menghasilkan keputusan yang positif.

"Namun, pada masa sama kami tidak mahu berikan tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu buat yang terbaik. Apa yang kami perlu lakukan adalah sentiasa fokus dalam setiap perlawanan kami akan hadapi," kata Aaron.

Di Terbuka Denmark, Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan keempat kejohanan akan membuka tirai kempen menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel manakala di Terbuka Perancis pula, naib juara Seluruh England 2019 itu dijadual bertemu Liang Wei Keng-Wang Chang dari China di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 6:25 PM