AARON (kanan) dan Wooi Yik terkandas di separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia. FOTO AFP
AARON (kanan) dan Wooi Yik terkandas di separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui perlu mengkaji kelemahan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ia tugas penting yang perlu dilakukannya untuk mencari jalan penyelesaian pemasalahan Aaron-Wooi Yik yang pada satu ketika mendahului tapi akhirnya tewas sebelum mereka turun beraksi di Sukan Asia, Hangzhou, September ini.

Perkara itu dapat dilihat ketika Aaron-Wooi Yik yang dalam misi mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Dunia, di Copenhagen, Denmark tewas kepada beregu keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21.

Paling ketara ketika di set pertama yang mana Aaron-Wooi Yik pada satu ketika mendahului 19-15 namun akhirnya tewas kepada lawan.

"Jika kita melihat semula prestasi beregu negara, mereka bermain dengan sangat baik tapi saya perlu buat sesuatu, kaji balik kenapa pemain kita tak boleh terus kekal mendahului dan tidak menjadi tegang.

"Saya melihat sentuhan penyudah kita saat mendahului itu ada masalah. Terlalu banyak fikir," katanya. Kini tumpuan beregu negara itu akan terarah kepada persediaan untuk menghadapi temasya Sukan Asia, Hangzhou, September ini.

Sentuhan Rexy diharapkan dapat mengembalikan pingat emas yang pernah di raih sewaktu beliau membawa Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Sukan Asia, Doha 2006.

Aaron-Wooi Yik memulakan kempen kejuaraan dunia 2023 dengan baik apabila menewaskan gandingan Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede 18-21, 21-14, 21-16 di pusingan kedua selepas menerima bye di pusingan pertama.

Mereka seterusnya menewaskan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-16, 21-18 di pusingan ketiga untuk menempah slot ke suku akhir bertemu pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Pertemuan keempat dengan Yu Chen-Xuan Yi berjaya di atasi Aaron-Wooi Yik dengan melakar kemenangan 21-10, 15-21, 21-14 yang secara tidak langsung menyaksikan mereka meraih kemenangan sulung ke atas pasangan China itu dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 3:41 PM