TZE YONG tegaskan jika boleh dia mahu beraksi semula perlawanan di BATC. FOTO NSTP
TZE YONG tegaskan jika boleh dia mahu beraksi semula perlawanan di BATC. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan belakang seakan pasti diturunkan dalam aksi sulung peringkat kumpulan menentang Brunei, esok ketika Malaysia memulakan kempen mempertahan kejuaraan, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan, memberi bayangan bahawa pemain berusia 24 tahun itu bakal beraksi pada perlawanan pertama, ketika menjawab mengenai tahap kecergasan terkini Tze Yong.

"Ini adalah kejohanan pertama Tze Yong, cergas atau tidak kita akan lihat perkembangannya dalam perlawanan pertama, di situ kita akan nampak," katanya.

Ujar jurulatih kelahiran Indonesia itu, kebiasaannya pemain utama akan diturunkan dalam aksi pertama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Apapun ia adalah strategi nak turunkan siapa, pastinya setiap pemain menggalas tanggungjawab masing-masing. Ini kerana kita mahu tampil sebagai juara Kumpulan B yang turut menampilkan Taiwan dan Kazakhstan.

"Ya Taiwan adalah lawan yang lebih sukar berbanding Brunei dan Kazakhstan, tetapi jika kita juara kumpulan, lawan di peringkat seterusnya pasti lebih mudah," ujar Hendrawan.

Sementara itu, Tze Yong mengakui teruja untuk kembali menyertai kejohanan, selepas dua bulan rehat akibat kecederaan otot tulang belakang yang dialami pada Terbuka Malaysia, Januari lalu.

"Kalau kondisi badan saya OK, saya nak main semua perlawanan dan tentunya tiada pemain yang mahu kalah. Setiap satu mata amat penting dalam pasukan, kerana jika saya mendapat mata dan mendahului lawan, rakan sepasukan boleh beraksi tanpa tekanan, tak tertekan sangat," kata Tze Yong.

Tze Yong mengakui akan menggunakan pengalaman berada dalam skuad yang menjuarai kejohanan dua tahun lalu, untuk memenangi setiap aksi jika dia diturunkan.

Malah, kehadiran Lee Zii Jia yang baru pulang dari latihan di Korea Selatan, meningkatkan lagi keyakinan pasukan.

"Ya melihat Zii Jia berlatih di Korea memberi keyakinan kepada pasukan kerana berlatih di sana agak sukar," kata pemain kelahiran Johor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:54 PM