ZII JIA mengalami simptom sukar bernafas semasa perlawanan menentang Taiwan. FOTO NSTP
ZII JIA mengalami simptom sukar bernafas semasa perlawanan menentang Taiwan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Teka-teki mengenai ketiadaan Lee Zii Jia selaku perseorangan pertama pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dan penarikan diri Ng Tze Yong di set pertama perlawanan itu akhirnya terjawab selepas Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan kenyataan hari ini.

Menurut Team LZJ, mereka berterima kasih kepada pihak BAM kerana memahami keadaan Zii Jia dan berasa kecewa (Zii Jia) tidak dapat turun serta menyumbang mata buat negara.

"Ia disebabkan Zii Jia mendapat simptom resdung yang sudah lama dialaminya. Team LZJ sudah membentangkan situasi ini kepada BAM dan jalan terbaik ialah Zii Jia tidak dapat meneruskan aksi untuk perlawanan menentang Singapura.

"Zii Jia mengalami simptom sukar bernafas semasa perlawanan menentang Taiwan semalam dan apabila keadaan semakin teruk, Zii Jia dibawa berjumpa pakar pada pagi tadi. Dia dinasihatkan untuk berehat bagi mengelak situasi lebih buruk," kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan BAM pula, mereka memberitahu bahawa Tze Yong menjalani Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) selepas perlawanan menentang Brunei Selasa lalu.

"MRI itu mengesahkan bahawa dia (Tze Yong) tidak cergas 100 peratus. Oleh itu, dia direhatkan menentang Kazakhstan (kelmarin) dan Taiwan (semalam).

"Tze Yong menjalani rawatan di hospital semalam untuk mempersiapkannya menghadapi perlawanan menentang Singapura dan memastikan dia berada dalam keadaan terbaik.

"Memandangkan Zii Jia juga sakit selepas perlawanan menentang Taiwan semalam dan dinasihatkan oleh pakar untuk berehat kerana masalah resdungnya, barisan kejurulatihan memutuskan untuk meletakkan Tze Yong sebagai perseorangan pertama dan mengekalkan Leong Jun Hao sebagai perseorangan kedua, diikuti Eogene Ewe (perseorangan ketiga)," katanya.

Dalam aksi suku akhir sebentar tadi Tze Yong yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan otot tulang belakang terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 1-3 kepada perseorangan Singapura, Jason Teh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:42 PM