Tang Jie-Ee Wei akan turun beraksi di Jelajah Dunia Akhir bulan depan di Hangzhou, China. -FOTO NSTP
Tang Jie-Ee Wei akan turun beraksi di Jelajah Dunia Akhir bulan depan di Hangzhou, China. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie lebih selesa dengan status 'underdog' (bukan pilihan) selepas kali pertama beraksi di Jelajah Dunia Akhir bulan depan di Hangzhou, China.

Bagaimanapun, dia yang berpasangan dengan Toh Ee Wei bukanlah tidak mahu berusaha untuk melakar kejutan dengan mencatat kemenangan dalam kejohanan dimulakan secara berkumpulan itu.

"Kami mempunyai tempoh dua minggu lagi untuk mempersiapkan diri dan berjanji akan memberikan aksi terbaik di kejohanan terakhir musim ini," kata Tang Jie yang turut dicalonkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) bersama Ee Wei sebagai pemain paling meningkat tahun ini.

Ujarnya, mereka akan berdepan dengan tujuh lagi pasangan hebat dunia dan lebih selesa untuk meletakkan diri sebagai gandingan bukan pilihan.

"Memang mereka lebih bagus daripada kami dan kami perlu cuba memberikan aksi terbaik di sana nanti. Semua gandingan yang pernah kami temui sebelum ini. Jadi ia bergantung kepada aksi kami di dalam gelanggang untuk menghadapi mereka sekali lagi.

"Sebenarnya ikut dari segi kemampuan memang tidak banyak beza, semua susah untuk dihadapi, lebih baik kami meletakkan diri sebagai pasangan 'underdog' terlebih dahulu.

"Buat masa sekarang fokus kami hanya kepada kejohanan itu. Selepas Jelajah Dunia Akhir barulah kami bincangkan untuk pelan seterusnya. Sebagai pasangan bukan pilihan kami bukan tidak mahu menang tapi kami harus bersedia dari segi mental," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Dalam pada itu, Tang Jie mengucapkan terima kasih kepada BWF kerana mencalonkan dia dan Ee Wei untuk anugerah pemain paling meningkat musim ini.

"Bagaimanapun, saya rasa keputusan kami di beberapa kejohanan masih lagi belum konsisten. Sekali lagi kami perlu belajar lebih banyak. Saya rasa tahun ini banyak cabaran yang ditempuh bersama rakan segandingan saya.

"Kami baru digandingkan November tahun lalu dan sekarang kami mahu mengejar impian terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan. Saya masih belum berasa selesa dan sudah mencipta nama.

"Saya dan Ee Wei masih dahagakan pencapaian lebih tinggi cuma ini baru permulaan buat kami untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Selain Tang Jie-Ee Wei tujuh lagi pasangan layak beraksi di kejohanan yang berlangsung dari 13 hingga 17 Disember itu ialah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (China), Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun), Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (China), Seo Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea Selatan), Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand), Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (China) dan Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 12:26 PM