NORZA (lima dari kiri) bergambar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara BAM dan Yayasan ASTRO Kasih di ABM,
NORZA (lima dari kiri) bergambar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara BAM dan Yayasan ASTRO Kasih di ABM,
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Barisan exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan bertukar tangan walaupun kepimpinan utama berubah selepas kemasukan kemasukan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz kelak.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan bersama Zafrul bagi membincangkan proses peralihan termasuklah berkaitan barisan kepimpinan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton itu bulan depan.

"Saya selalu berjumpa dengan Tengku Zafrul, bagi saya tiada isu. Kita akan adakah Mesyuarat Agung Tahunan pada Disember, dan kemudian selepas Kejohanan Terbuka Malaysia (Januari depan), kita akan adakan satu Mesyuarat Ahli Lembaga yang biasa untuk mengusahakan tentang peralihan kuasa ini.

"Bagi saya ini bukan isu besar, kerana pasukan sedia yang menguruskan BAM berjalan seperti biasa, dan bila tiba masanya kita akan umum dan melaksanakannya.

"Kita harus bersikap adil kepada dia (Zafrul) kerana kami di BAM juga harus menyelesaikan beberapa perkara dahulu, baru akan memberi penerangan kepadanya tentang badan induk ini.

"Semuanya akan kekal sama sebagai status quo, kecuali kerusi presiden. Seperti yang kita tahu, pemilihan seterusnya adalah pada 2025 dan ia tempoh yang sangat lama. Jadi kesemua timbalan dan naib presiden akan kekal sama.

"Untuk 2025 pun, kebiasaannya, kalau kita lihat apabila berlaku pemilihan, hanya membabitkan tiga jawatan tertinggi, tetapi kita sedar BAM mempunyai sejarah yang baik, jadi saya tidak rasa akan berlaku banyak perubahan," katanya.

Mengikut rekod, Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dinamakan sebagai presiden terbaru BAM ketika mesyuarat badan induk pada 14 Oktober lalu, bagi menggantikan Norza yang umum peletakan jawatannya pada hujung tahun ini.

Norza mula memegang tampuk kerusi presiden sejak memenangi pemilihan exco BAM pada 2017 dan kemudian mempertahankannya pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:40 PM