NORZA Zakaria. -FOTO NSTP
NORZA Zakaria. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mungkin membuat 'pusingan U' apabila mempertimbangkan semula untuk melepaskan jawatan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung tahun ini.

Hal ini kerana, Norza mahu mempertimbangkan permintaan berkenaan sebagai menghormati Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selain mengakui antara mereka mempunyai kerjasama yang baik termasuk sebagai Presiden MOM dan komuniti program Road to Gold (RTG).

Beliau berkata, keputusan untuk kekal menerajui BAM atau sebaliknya akan diputuskan pada mesyuarat badan induk badminton negara itu pada Sabtu ini.

"Pertama sekali, tentu saya akan mempertimbangkan permintaan menteri kerana saya menghormatinya dan kedua, saya pun bekerjasama dengan menteri amat baik dalam RTG dan semuanya.

"Kita akan mengadakan mesyuarat Majlis BAM pada Sabtu ini dan selepas itu saya akan memberikan keputusan dan kenyataan lanjut. Kemungkinan beliau (Hannah) meminta saya (kekal di BAM) sehingga Olimpik Paris.

"Malah tempoh saya pun sehingga 2025. Pada mulanya saya nak berhenti seperti sebelum ini (selepas Olimpik Paris) dan saya mungkin akan mempertimbangkan sehingga Olimpik Paris semula. Apapun, pada Sabtu ini saya akan buat keputusan," katanya.

Sebelum itu, Hannah memuatnaik hantaran di aplikasi X yang mahu Norza memikirkan semula keputusan daripada melepaskan jawatan dalam BAM pada hujung bulan ini.

Hannah turut memaklumkan yang program RTG direka bagi mengelakkan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan dalam Kementerian KBS ataupun MOM apabila mempunyai dua pengerusi bersama.

Ogos lalu, Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk badminton itu pada hujung tahun ini.

Pada masa sama, BAM turut menamakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baharu dan tarikh sebenar pelantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat majlis pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 2:59 PM