Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan berdepan pilihan pertama. -FOTO NSTP
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan berdepan pilihan pertama. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mempamerkan aksi mantap di Masters Jepun selepas berjaya mara ke suku akhir apabila mengalahkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai sebentar tadi.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, beliau menasihatkan anak buahnya agar tidak perlu banyak berfikir apabila turun ke gelanggang berdepan dengan pasangan senior.

"Saya memberitahu mereka untuk tidak ikut rentak pemain lawan. Tang Jie-Ee Wei lebih muda dan mereka mempunyai kelajuan serta kekuatan," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Nova, jika semua nasihat yang diberikan berjaya dipatuhi memang ia mudah untuk Tang Jie-Nova terus melangkah jauh ke kejohanan berkenaan.

Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelapan berjaya mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan 16-21, 21-13, 21-13 dan bakal berdepan pilihan utama esok, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Si Wei-Ya Qiong dari China berjaya mara ke suku akhir selepas mengalahkan pasangan tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-6, 21-17.

Turut mara ialah satu lagi pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berjaya melakar kejutan selepas mengalahkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-14, 21-17.

Menanti Kian Meng-Pei Jing di suku akhir ialah pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) yang sebelum itu mengalahkan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan 22-20, 22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 12:02 PM