TANG Jie dan Ee Wei atasi cabaran rakan sepasukan.
TANG Jie dan Ee Wei atasi cabaran rakan sepasukan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara terus menguasai Masters Korea apabila tiga pasangan berjaya menempah slot suku akhir hari ini diketuai gandingan nombor 10 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei Tang Jie-Ee Wei yang tidak berdepan masalah untuk mengetepikan pasangan senegara yang baharu digandingkan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin selepas mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-8.

Menurut jurulatih beregu campuran negara, Masters Korea sangat penting buat Tang Jie dan Ee Wei kerana mensasarkan mendapatkan sebanyak mungkin mata bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, Disember depan.

"Saya pesan kepada Tang Jie-Ee Wei untuk tidak terlalu banyak berfikir, harungi sahaja perlawanan tanpa memikirkan mahu ke final seperti di Terbuka Perancis, sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri," kata Nova.

Ujar jurulatih kelahiran Indonesia itu, mata dikumpul Tang Jie-Ee Wei belum cukup selamat meskipun berada di ranking kelapan Jelajah Dunia.

Mereka ketika ini mengumpul 75,300 mata tidak jauh berbanding pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin (73,890) yang menghuni tangga kesembilan, manakala wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet ditangga ke-10 (73,820).

"Amat penting buat Tang Jie-Ee Wei layak ke Jelajah Dunia Akhir, kerana dia akan beraksi buat kali pertama sekali gus meraih keyakinan untuk menghadapi cabaran tahun hadapan."

Di suku akhir esok, Tang Jie-Ee Wei akan menentang Chiu Hsian Chieh-Lin Xiao Min dari Taiwan.

Mengiringi mereka ke suku akhir ialah dua pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Soon Huat-Shevon mengatasi gandingan kelayakan dari Korea Selatan, An Yun Seong-Lee Yeon Woo 21-11, 21-13, manakala Kian Meng-Pei Jing pua menewaskan Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yan 22-20, 18-21, 21-18.

Dalam aksi suku akhir Soon Huat-Shevon akan berdepan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, manakala Kian Meng Pei Jing pula bertemu pilihan kedua Jiang Zhen Bang-Wei Ya xin (China).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:40 PM