AKSI Peng Soon (kanan) semalam. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Peng Soon (kanan) semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi & Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Selepas ini pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon sudah pasti tidak dapat melupakan kenangan manis dan sokongan padu peminat badminton apabila menutup buku saingan Terbuka Malaysia.

Peng Soon yang bergandingan bersama Cheah Yee See, beraksi buat kali terakhir di kejohanan berkenaan semalam selepas tewas 14-21, 14-21 kepada pilihan kelima dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di pusingan kedua.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, sokongan penyokong di Axiata Arena setiap kali kejohanan bertaraf Super 1,000 berlangsung, akan menjadi antara perkara paling dirindui.

Walaupun tidak mengumumkan persaraan penuh, Peng Soon yang cukup sinonim bersama gandingan Goh Liu Ying sehingga memenangi pingat perak beregu campuran di Olimpik Rio 2016, mengesahkan Terbuka Malaysia tahun ini, adalah yang terakhir buatnya.

"Ini Terbuka Malaysia terakhir… memori paling saya kenang tentunya ketika dua kali berada di final walaupun tidak pernah muncul juara, ia satu perasaan yang amat menyenangkan.

"Peminat Malaysia sentiasa menjadi nombor satu, dari pusingan pertama mereka memberi sokongan padu," katanya.

Penampilan Peng Soon bersama Liu Ying di Terbuka Malaysia 2011 menyaksikan mereka tersingkir di pusingan pertama namun memperbaiki prestasi dengan mara ke separuh akhir pada edisi 2012 sebelum ke final pada 2013.

Prestasi gandingan itu bagaimana terjejas selepas Liu Ying berdepan masalah kecederaan hingga tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2014 dan tidak beraksi setahun kemudian.

Namun 2016 tahun yang cukup meninggalkan kenangan manis buatnya apabila sekali lagi melangkah ke final, tahun yang sama mereka merangkul pingat perak di Sukan Olimpik.

Pada Terbuka Malaysia tahun lalu, dia beraksi bersama Liu Ying sebagai meraikan perpisahan dengan gandingan asalnya itu yang mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional.

Begitupun, Peng Soon berharap satu lagi aksinya di laman sendiri pada Malaysia Masters Mei depan, memberi tuah kepada dia dan Yee See untuk mara lebih jauh.

Sepanjang bergelar pemain profesional, Peng Soon berada dalam skuad naib juara Piala Thomas 2014, dan pernah meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Komanwel, satu gangsa Sukan Asia selain juara Kejohanan Badminton Asia pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:31 PM