PENG Soon (kiri) dan Yee See (kanan) mara ke pentas final. FOTO BERNAMA
PENG Soon (kiri) dan Yee See (kanan) mara ke pentas final. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hanya selangkah lagi buat pemain pilihan pertama Masters KL Malaysia Super 100 2023 dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See untuk merangkul gelaran pertama mereka tahun ini.

Beregu profesional negara itu hanya memerlukan 38 minit untuk menewaskan pilihan ketujuh dari Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun 21-10, 22-20 di Stadium Titiwangsa KL.

Peng Soon ketika ditemui mengakui gembira apabila dapat menjejakkan kaki ke final biarpun ia hanya kejohanan bertaraf Super 100.

Kali terakhir beregu profesional itu merangkul gelaran juara adalah pada 2017 di Terbuka Rusia.

"Memang saya sangat gembira bila dapat layak ke final. Masa di set kedua memang ada dapat rasa peluang boleh masuk ke final jadi kami agak gopoh sikit.

"Bagi saya kejohanan ini tetap penting untuk saya dan Yee See kerana sebelum beraksi di sini, kami tak ada keputusan yang bagus jadi kami tidak mahu fikir terlalu banyak.

"Tetapi kini peluang sudah ada, kami akan cuba berhabisan-habisan.

"Rehat satu hari memang bagus, untuk macam saya, membuatkan saya lebih segar untuk perlawanan hari ini. Tetapi tempo permainan saya terganggu sedikit sebab cuti sehari membuat saya rasa tidak selesa," kata Peng Soon.

Menanti mereka di pentas akhir esok adalah lawan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong yang sebelum itu menewaskan satu lagi wakil negara, Ting Shih Wee Owen-Gan Jing Err 15-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 4:35 PM