AKSI Jun Hao ketika menentang Kuan Lin. FOTO Bernama
AKSI Jun Hao ketika menentang Kuan Lin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao semakin hampir menamatkan kemarau kemenangannya selama setahun selepas mengesahkan slot di separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur (KL) 2023.

Dalam saingan suku akhir di Stadium Titiwangsa hari ini, juara remaja Asia 2017 itu mengetepikan juara remaja dunia 2022 Kuo Kuan Lin dari Taiwan 21-16, 21-15 untuk berdepan wakil Korea Selatan Choi Ji Hoon yang menundukkan pilihan kelapan Sameer Verma dari India 21-9, 21-13.

"Saya memang buat persiapan terbaik untuk perlawanan hari ini, bagus dapat menang dalam straight set. Saya fokus mata ke mata dan mahu elakkan kesilapan.

"Sasaran awal saya adalah separuh akhir, kini ia dah tercapai, saya nak pergi jauh untuk menang gelaran ini di hadapan peminat tanah air. Dua pusingan masih jauh lagi (untuk raih gelaran), saya kena teruskan fokus," kata pemain di ranking ke-43 dunia itu.

Kali terakhir Jun Hao meraih gelaran juara adalah pada Masters Indonesia 2022, mengalahkan rakan senegara Cheam June Wei di Malang, Indonesia.

Juara Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023, Aidil Sholeh Ali Sadikin turut mengiringi Jun Hao ke separuh akhir selepas menyingkirkan Jason Teh Jia Heng dari Singapura 21-8, 5-21, 21-13.

Bagaimanapun, Aidil Sholeh berdepan saingan getir apabila berentap dengan pilihan utama Lee Chia Hai dari Taiwan, yang sebelum itu menewaskan Jason Gunawan dari Hong Kong 21-16, 21-17.

"Pada set kedua tadi saya hilang rentak dan fokus, namun berjaya bangkit pada set penentuan. Esok saya akan turun tanpa sebarang tekanan, jadi akan berikan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See menang percuma selepas pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun menarik diri akibat kecederaan.

Wakil negara itu akan berdepan satu lagi wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun.

Turut ke separuh akhir, gandingan Choong Hon Jian-Goh Pei Kee yang mengetepikan Tanupat Viriyangkura-Alisa Sapniti dari Thailand 21-11, 21-12, untuk bertemu Pakkapon Teerarasakul-Phataimas Muenwong juga dari Thailand.

Nasib berbeza buat wakil perseorangan wanita negara K Letshanaa apabila terkandas di suku akhir selepas tewas kepada Kim Joo Eun dari Korea Selatan 31-21, 21-16, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 9:17 PM