TZE Yong tewas di tangan pemain China.
TZE Yong tewas di tangan pemain China.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Nasib berbeza dialami pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong pada saingan Terbuka Denmark apabila tersingkir seawal pusingan pertama, hari ini.

Tze Yong yang menduduki ranking ke-17 dunia ketika ini tewas di tangan pemain China, Lu Guang Zu 18-21, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Jyske Bank di Odense.

Ia berbeza dengan kejayaannya mara ke final Terbuka Artik di Vantaa, Finland minggu lalu sebelum tewas kepada rakan senegara, Lee Zii Jia.

"Saya tidak bermain dengan baik hari ini, mungkin disebabkan tubuh badan saya belum pulih sepenuhnya (selepas beraksi sehingga final di Terbuka Artik). Ini adalah pengalaman yang saya boleh belajar.

"Saya tidak dapat memberikan fokus 100 peratus, itu adalah final pertama saya...jadi saya perlu belajar lagi bagaimana cara untuk mengawalnya bagi menghadapi kejohanan seterusnya," kata Tze Yong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, hari ini.

Beregu lelaki negara yang turut muncul naib juara Terbuka Artik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga gagal meneruskan kemaraan di Terbuka Denmark.

Wei Chong-Kai Wun tunduk di tangan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 16-21 dalam tempoh 46 minit.

Sementara itu, beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berjaya mara ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau menerusi kemenangan 21-18, 19-21, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 5:51 PM