AARON (kiri) dan Wooi Yik bakal bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok. FOTO Badminton Photo
AARON (kiri) dan Wooi Yik bakal bertemu satu lagi pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Misi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraih gelaran pertama musim ini berjalan lancar apabila mara ke pentas suku akhir Terbuka Singapura 2023 sebentar tadi.

Pada pertemuan pusingan kedua yangberlangsung di Stadium Tertutup Singapura hari ini menyaksikan pasangan negara itu tidak berhadapan masalah menumpaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan straight set 21-18-21-17.

Pertemuan itu adalah yang pertama antara Aaron-Wooi Yik dengan gandingan ke-13 dunia yang dilihat sedang meningkat naik itu.

Dalam pada itu, pertembungan Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia dengan satu lagi pasangan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok dijangka sengit selepas lawannya itu sudah melakar dua kemenangan ke atas juara dunia 2022 pada tahun terbabit.

Carnando-Marthin meraih dua kemenangan dalam tiga pertemuan tahun ini iaitu di Masters Malaysia dan Seluruh England manakala Aaron-Wooi Yik menewaskan lawannya itu di Kejohanan Badminton Asia, April lalu.

Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik merekodkan empat kemenangan ke atas Carnando-Marthin sejak mereka mula bertemu di Terbuka Thailand 2021.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terkandas di pusingan kedua di tangan pilihan ketujuh dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 18-21, 24-22, 13-21 dalam tempoh satu jam 6 minit.

Turut tersingkir adalah beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila kecundang di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 18-21, 21-18, 13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 5:58 PM